Sabtu, 03 November 2012

Adab Pergaulan Antara Lelaki dan Wanita


                    

1) Menutup aurat. 

Firman Allah SWT: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan Yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar);.. “(al-Ahzab:59). 

Aurat wanita dengan lelaki bukan mahram ialah seluruh tubuh kecuali muka dan pergelangan tangan. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW kepada Asma’ RA:

“Wahai Asma’! Sesungguhnya seorang wanita apabila sudah baligh, dia tidak patut memperlihatkan tubuhnya itu melainkan ini dan ini, sambil baginda menunjukkan muka dan kedua-dua telapak tangannya.” (Riwayat Abu Daud)
Aurat lelaki dengan wanita bukan mahram ialah daripada bahagian pusat sehinggalah ke lutut.

2) Menjaga pandangan. 

Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengeta
huannya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; …(31). (Surah an-Nur, 30-31).
Bukan semua pandangan diharamkan. Imam asy-Syarbini menerangkan: “Pandangan juga dibolehkan pada bahagian

yang bukan aurat dengan syarat tidak disertai syahwat dan aman daripada nafsu.” (Mughni al-Muhtaj)

3) Tidak berdua-duaan. 

Ibn Abbas RA berkata, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda di dalam khutbahnya: “Tidak boleh bagi seorang lelaki berkhalwat dengan wanita melainkan bersamanya mahram.” (Riwayat Muslim)

Sesetengah orang berfikir dan berandai, jika kita berada di tempat awam maka tak apa jika berdua-dua. Ada ramai orang di sekeliling. Namun adakah orang-orang yang berada di sekeliling itu akan menghiraukan mereka? Dan di mana pula mahramnya?

Perlu diingatkan bahawa, mahram yang menemani pula mestilah yang memahami hukum-hakam agama dan mampu menegur jika kita melakukan maksiat ketika bersama dengan mereka yang bukan mahram. Berapa ramai mahram yang membiarkan sahaja saudaranya melakukan maksiat!

4) Tidak melembut-lembutkan suara. 

Firman Allah SWT: “Maka janganlah kamu wahai wanita,merendahkan (melembutkan) suaramu maka dibimbangi orang yang berpenyakit di hatinya beringinan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik ( kandungan dan tatacaranya)” (Al-Ahzab :32)
Imam As-Suddi berkata : Larangan ini bermaksud larangan kepada kaum wanita menipiskan suaranya (lembut, lunak dan manja) apabila bercakap di hadapan khalayak lelaki. Imam Qurtubi pula mengatakan, kerana suara yang sebegini akan menjadikan orang-orang lelaki munafiq dan ahli maksiat berfikir jahat. (Tafsir Ibn Kathir, 3/483 ; Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, 14/177).

Ini semua termasuklah dalam bermanja-manja dengan bukan mahram, beroman-romantik, bergayut di telefon sambil meluah rasa cinta, ber ‘I love U’ dan ‘U love Me’, ‘I miss U, dan lain-lain lagi.

5) Tidak bersentuhan (tidak kira berlapik mahupun tidak). 

Daripada Ma’qil bin Yasar ra, : “Bahawa ditusuk kepala dengan jarum besi lebih baik daripada memegang-megang perempuan yg tidak halal baginya.” (Riwayat at-Thabrani, di sahihkan oleh al-Albani di dalam Shahih al-Jami’:5045).
Bersentuhan ini termasuklah bersalaman, berpegangan tangan, bertepuk tampar dan lain-lain tidak kira berlapik mahupun tidak.

Akhirnya setelah tolak tambah darab bahagi, cinta yang sejati adalah cinta kepada ALLAH. Justeru, kita perlu jaga sebaiknya hubungan kita dengan-Nya agar matlamat dan hala tujuan kehidupan kita sentiasa jelas dan terarah untuk pasti kembali kepada-Nya satu hari nanti.


Walau bagaimanapun, itu tak menidakkan cinta sesama insan malah itu fitrah yang ALLAH ciptakan kepada setiap insan yang dicipta-Nya. Seorang lelaki memerlukan perempuan dan begitu juga sebaliknya dan disatukan sebagai suami isteri yang sah seterusnya melahirkan zuriat. Tetapi untuk merealisasikannya haruslah kena pada tempat, masa dan keadaan dengan petunjuk agama. Bukan ikut nafsu kita. Kita tak pula disuruh untuk mengunci nafsu tetapi mengawalnya dengan baik. 

Sesetengah orang mengatakan :

"Biasalah umur-umur macam ni, masing-masing tengah mencari. Rilekslah"

Tidak ada masalah untuk mencari selagi tidak melakukan apa-apa yang melanggar syarak.

Apabila batas yang sudah Allah tetapkan dilanggar secara terang-terangan, maka wajib ada muslim yang menegur dan memperbetul kesilapan tersebut.

Itulah namanya amar ma'ruf, nahi mungkar. Jadi bagaimana dengan iman kita seandainya tiada yang menegur, malah menyokong pula?

Nafsu diciptakan oleh ALLAH untuk insan. Namun haruslah dikawal menurut syariat. Hatta pertunangan pun, larangan dan hukum tetap sama selagi belum berkahwin. Andai tunang dilayan berbeza berbanding lelaki lain, ambillah iktibar dari hal ini kerana mereka belum sah menjadi pasangan kita.

Kesimpulannya, ketaqwaan kepada ALLAH dengan hidup berteraskan Al Quran dan As Sunnah perlu disuburkan dalam cinta sesama insan. Jangan melampau atau obses dalam cinta sesama insan sampai sanggup korbankan harga diri, masa depan dan hidup kita. Semoga kita mendapat cinta sejati iaitu cinta ALLAH akan kita, disamping cinta sesama insan. 

Jom kita amalkan doa yang diajar oleh Nabi Muhammad S.A.W :

“Ya ALLAH, sesungguhnya aku mohon kepada-Mu akan cinta-Mu, cinta orang yang menyintai-Mu dan amalan yang membawaku kepada cinta-Mu. Ya ALLAH, jadikan cintaku kepada-Mu lebih daripada cintaku kepada diriku sendiri, keluargaku dan air yang dingin” Hadis Riwayat Tirmidzi, Hakim, Abu Nu’aim & Abu Qaani’ dari Abi Darda’ 

Indah sungguh kata-kata sang Nabi. Bagaimana cinta kita kepada Rasul junjungan sallallahu 'alaihi wasallam, insan yang paling bertaqwa kepada Allah azza wa jalla?

Pesan dari diri yang dhaif ini, lebih banyak hal dan urusan yang perlu disibukkan oleh kita. 

Jika sekalipun kita tidak mendapat orang yang kita kasihi sebagai suami/isteri, untuk apa dikesalkan? Cinta kepada manusia adalah salah satu kelazatan dunia yang pasti akan hilang. Dan ia boleh bertumbuh juga dengan kehendakNya. Janganlah menjadi hamba kepada cinta sehingga kita dibutakan olehnya. Yang benar tetap benar, yang salah itu kita tetap katakan sebagai salah. Jadilah adil, walaupun terhadap diri kita sendiri.


يَـأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ بِالْقِسْطِ شُهَدَآءِ للَّهِ وَلَوْ عَلَى أَنفُسِكُمْ أَوِ الْوَلِدَيْنِ وَالاٌّقْرَبِينَ إِن يَكُنْ غَنِيّاً أَوْ فَقَيراً فَاللَّهُ أَوْلَى بِهِمَا فَلاَ تَتَّبِعُواْ الْهَوَى أَن تَعْدِلُواْ وَإِن تَلْوُواْ أَوْ تُعْرِضُواْ فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيراً 

"Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika dia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi, maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan." (An-Nisa : 135)


Dalam tafsir Ibnu Kathir tentang ayat ini, beliau mengatakan "Allah memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman untuk membela kebenaran dan keadilan dan tidak menyimpang dari itu, sama ada ke kanan atau ke kiri. Mereka tidak perlu takut dipersalahkan oleh sesiapapun atau membenarkan orang untuk mencegah mereka dari melakukan sesuatu kerana Allah. Mereka juga harus mendapatkan bantuan, sokongan dan pertolongan antara satu sama lain demi Allah."

Peringatan juga buat penulis (pengedit) sendiri. 

Sentiasalah intropeksi diri kita, kerana itu lebih mendekati taqwa.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar